KUCHING: Ekonomi Sarawak tumbuh pada kadar 5.5 peratus hingga 6.5 peratus pada tahun 2022 berbanding pada kadar dua peratus pada 2021, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu berkata, susulan pertumbuhan yang meyakinkan itu, pencapaian pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 2022 melepasi hasil pendapatan yang dianggarkan sebanyak 17 peratus iaitu daripada RM10.159 bilion kepada RM11.910 bilion.
Ini adalah pencapaian pendapatan paling tinggi berbanding pada tahun 2021 iaitu sebanyak RM7.620 bilion, katanya menggulung perbahasan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.
Menurut Abang Johari, Kerajaan Sarawak kini melaksanakan pelbagai langkah di bawah Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 untuk memacu pertumbuhan ekonomi, meningkatkan produktiviti dan daya saingan pasaran global.
“Kita sedang rancak melaksanakan projek infrastruktur bagi menjamin kesalingan hubungan, mempercepatkan perdagangan dan pelaburan dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi domestik,” tegas beliau.
Beliau berkata, ini sangat peting untuk Sarawak terus maju ke hadapan dalam inisiatif ekonomi baharu bagi mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan berpendapatan tinggi untuk rakyat.
Pada tahun 2023, katanya, ekonomi Sarawak diunjurkan tumbuhan antara lima peratus hingga enam peratus.
Menjelang tahun 2030, Premier Sarawak berkata, semua segmen ekonomi iaitu perlombongan, pertanian, perhutanan, pengilangan, pembinaan dan perkhidmatan akan digerakkan oleh ekonomi digital menggunakan teknologi maklumat (ICT).
Di bawah Cetakbiru Digital 2030, beliau berkata, sektor swasta akan memain peranan menyeluruh berasaskan teknologi seperti ‘big data’, blockchain, internet kebendaan, kecerdasan buatan dan keluasan teknologi.
Kerajaan Sarawak, tambah beliau, akan terus membangunkan infrastruktur digital untuk memperluaskan liputan dan menyedia kemudahan kesaling hubungan terutama untuk penduduk luar bandar sejajar dengan pembangunan inklusif.
Beliau menegaskan, bagi menjamin keselamatan siber Sarawak, kerajaan akan menubuhkan sebuah pasukan Keselamatan Siber bagi mengendalikan Kerangkakerja Keselamatan Siber fokus kepada pengurusan dan pentadbiran yang lebih berkesan.
Ia juga akan fokus kepada bidang perundangan dan dasar, pematuhan dan penguatkuasaan, penyelidikan, inovasi dan industri teknologi, keupayaan pembangunan dan kolaborasi, katanya.
Sumber dari : Jiwa Bakti